MAJLIS CINTA & SYUKUR : AIR MATA RASULULLAH SAW IPTAF DUNGUN


Bacaan qasidah (pandangan dari atas pentas)

Malam tadi telah berlangsung dengan jayanya Majlis "Cinta & Syukur : Airmata Rasulullah SAW" di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, Dungun, Terengganu. Majlis yang julung kali diadakan di daerah ini dihadiri lebih 300 muslimin muslimat yang memenuhi segenap ruang di dalam dewan tersebut.


sebahagian hadirin muslimin

Majlis bermula kira-kira jam 9.20 malam dengan ucapan aluan oleh sdra. Muhammad Khairol Musa (S/U IPTAF Kemaman) selaku Pengerusi Majlis, disusuli dengan alunan zikir munajat pimpinan Ustaz Md. Sabri Ahmad (Pembimbing Dungun).


ustaz Mustaffa Kamal sedang menyampaikan tausiahnya

Selepas itu, al fadhil Ustaz Mustaffa Kamal bin Hamzah, Pengerusi IPTAF menyampaikan tausiah beliau berkisar mengenai tema majlis tersebut. Seperti biasa, lontaran suara beliau yang penuh bersemangat diadun dengan pengkisahan mengenai Rasulullah SAW membuatkan para hadirin begitu khusyuk dan tawadhuk mendengarnya.

Ustaz Mustaffa Kamal diakhir tausiahnya menyeru agar para hadirin semua berusaha bersungguh-sungguh menyuburkan kembali kecintaan kepada Baginda Rasulullah SAW sebagai membalas ‘air mata cinta’ dan segala pengorbanan Rasulullah SAW kepada umatnya. Bahkan, kecintaan kepada Baginda SAW merupakan pintu keimanan dan keredhaan Allah SWT.


sebahagian hadirin muslimat

Sebaik selesai tausiah beliau, anak-anak Ribath Rendah Syeikh Abdul Malik, Ribath Peralihan Syeikh Abdul Rauf Singkel dan pelajar-pelajar Ribath Menengah Al-Hidayah Al-Ghazaliyyah mengambil tempat. Mereka kemudian bergilir-gilir menyampaikan alunan pelbagai qasidah yang memuji Rasulullah SAW. Para hadirin juga turut sama berqasidah dalam suasana yang penuh barakah dan harmoni.


sedang mengaminkan doa munajat

Ustaz Mustaffa Kamal kemudiannya membacakan doa munajat dan diaminkan sekelian hadirin.

Majlis berakhir dengan semua hadirin bangun berselawat dan bersalam-salaman dan menikmati jamuan ringan.


majlis berakhir dengan selawat beramai-ramai

Syabas diucapkan kepada pihak IPTAF Dungun pimpinan Ustaz Md. Sabri Ahmad di atas kesungguhan dan komitmen pihak beliau beserta warga IPTAF Dungun yang menganjurkan program ini. Sebagai program yang pertama di daerah ini, ia dianggap sangat berjaya dalam mencapai objektifnya, sekurang-kurangnya untuk memperkenalkan IPTAF dan menyebarkan cahaya cinta dan syukur khususnya kepada masyarakat sekitar daerah ini.

Seperti dilafazkan dalam doa Pengerusi IPTAF, mudah-mudahan mereka yang hadir di majlis tersebut akan mendapat natijah yang sebaik-baiknya dan akan turut sama mendokong perjuangan IPTAF dalam menyuburkan kembali kecintaan masyarakat terhadap Rasulullah SAW dan kembali kepada pengamalan Islam yang syumul, insya Allah.

© Copyright 2009 IPTAF