headerphoto

MALAM KESENIAN ISLAM 2009
Catatan Dinsman

Selepas dibawa ke Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Alor Setar dan ke Dewan Dato’ Hormat Tanjung Karang, pada 27 Julai lalu kami dibawa pula oleh teater “Menunggu Kata Dari Tuhan” (MKDT) ke Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu. Yang menjemput kami ke sana ialah sebuah pergerakan NGO Islam yang bernama Ikatan Pengkajian Tauhid Tasawuf (IPTAF).

Seperti saya terkejut apabila masuk ke dewan KUIN kerana luasnya dan terus terkejut melihat penonton memenuhi dewan yang berkapasiti 1,600 orang itu, saya sekali lagi terkejut apabila masuk ke Dewan Konvensyen TTI, kerana ia lebih luas dari dewan KUIN, dan terus terkejut melihat ramai orang yang datang berduyun-duyun masuk ke dewan besar itu, hingga hampir memenuhi kapasitinya 2,000 lebih. Menurut kiraan tiket yang terjual, kata pihak IPTAF, jumlah penonton yang hadir kira-kira 1,700 orang (tidak termasuk anak-anak berusia 12 thn ke bawah).

Di Alor Setar, tiketnya RM7 untuk dewasa dan RM5 untuk pelajar. Di Kuala Terengganu, tiketnya RM15 untuk dewasa dan RM10 untuk pelajar. Manakala di Tanjung Karang, Selangor, masuk percuma, tetapi penonton tidak mencapai angka 200 dalam dewan yang berkapasiti lebih 500.

Jadi bukanlah soal tiket atau tanpa tiket atau tiket mahal atau murah yang menentukan penonton akan ramai atau kurang datang menonton. Ada faktor lain yang menentukan. Dan janganlah kita mudah menanggapi apabila ada pihak yang mengenakan tiket semahaj RM10 atau RM15 misalnya, dengan mengatakan mereka cuba mengaut untung atau meng’komersial’kan seni dakwah.

Saya sebenarnya kagum dengan beberapa perkara dalam usaha pihak IPTAF ini. Pertama, mereka sanggup dan yakin untuk menganjurkan satu bentuk persembahan pentas yang bermotif dakwah, di suatu tempat yang memerlukan penonton seramai 2,000 orang untuk membayar tiket semahal RM15. (Di Kuala Terengganu. Bukan di Kuala Lumpur!)

Bukan sengaja mereka mengenakan tiket yang mahal untuk suatu peristiwa senia bermotif dakwah itu. Mereka terpaksa berbuat demikian kerana tuntutan untuk membayar sewa dewan yang mahal, iaitu RM8,000. ada orang mungkin bertanya: Mengapa mereka memilih tempat yang sebegitu mahal? Dan tentu ada pula yang akan bertanya balik: Mengapa tidak?

Yang mengkagumkan saya ialah kesanggupan mereka mengelola (organise) suatu event seni bermotif dakwah yang besar sebegitu. Saya sendiri sewaktu menganjurkannya di Shah Alam, tidak berani dan tidak sanggup berusaha menarik penonton seramai 2,000 orang datang menonton teater, walaupun tiketnya hanya secara membeli buku yang berharga RM10.

Itu bukan kerja mudah. Memang. Dan itu telah lama menjadi suatu masalah besar yang sukar diatasi dalam dunia teater di Malaysia…

{petikan dari Harakah bil 1461 3-6 Ogos 2009}