headerphoto

Ziarah Rombongan IPTAF ke Jakarta

Catatan oleh : Ustaz Norazman Ngaspan (Pembimbing IPTAF Shah Alam)

Catatan perjalanan dimulai dengan tahmid puji-pujian sepenuhnya kepada Allah SWT, Tuhan seru sekalian alam. Salawat dan salam yang sempurna kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda.

Perjalanan / Safar ke Kota Raya / Metropolitan Jakarta @ Batavia adalah dalam kerangka mengadakan pertemuan, perbincangan dan ziarah bertempat di Halim, Jakarta Timur. Tanggal 24 Jamadil Akhir1430 bersamaan 18 Jun 2009. Dijangka pulang pada 27Jamadil Akhir1430 atau 21 Jun 2009. Amalan sunnah dari Rasul SAW ini, moga diredhaiNya. Amiin.


Sebahagian anggota rombongan bersama wakil jakarta (4 dr kiri). Turut kelihatan Pengerusi IPTAF, Ustaz Mustaffa Kamal (paling kiri)

Kami memulakan perjalanan bersama Syaikhuna Tokku seramai sembilan orang, 3 dari Kuala Terengganu, 4 dari Kemaman dan 2 dari Lembah Kelang.

Kami semua tiba di LCCT, Sepang kira-kira jam 4.30 pm. Diiringi hampir 30 orang ikhwan IPTAF Lembah Kelang.

Setelah selesai urusan check-in, kami masuk ke balai berlepas untuk menunggu penerbangan yang dijangka pada jam 7 pm. Rupa-rupanya ada perubahan jadual, penerbangan pada jam 7.40pm. Lewat sikit. Urusan penerbangan sukar diduga, kadang tertangguh. Yang penting penumpang kena tunggu kapal, kapal tidak tunggu penumpang. Kan…?

Selamat jalan bumi ku bertuah. Moga perjalanan atas cinta kepada Rasul SAW ini akan mendapat redhaNya dan perlindungan dariNya, Amiin.

Perjalanan meredah langit malam, tiada apa yang kelihatan. Tokku ditemani Ust. Mustaffa Kamal dan Ust Dasuki, kami yang lain duduknya berasingan. Selesa di sepanjang penerbangan yang mengambil masa lebih kurang 2jam setengah termasuk waktu mendarat. Maknanya hampir 3 jam dalam pesawat.

Kami selamat mendarat pada jam 10.10pm, waktu tempatan jam 9.10pm. Kami mengambil bagasi dan berjalan keluar disambut oleh teman-teman diketuai oleh Hj Bakhtiar. Menaiki 3 kenderaan menuju ke Sekretariat Tauhid Tasawwuf Chabang Jakarta.

Sepanjang perjalanan lebih kurang 30-40 minit dari lapangan terbang Soekarno – Hatta melalui lebuhraya, tolnya cuma 10 ribu rupiah, lebih kurang RM3.50. Murah. Sepanjang perjalanan melihat kenderaan yang masih banyak dan disambut dengan persekitaran penempatan yang padat.

Sekitar jam 10.30pm waktu tempatan tiba di sekretariat dan di sambut dengan selawat diiringi paluan kompang dan payung tetamu. Tidak terlintas untuk bertanya apa-apa berkaitan sambutan yang begitu meriah ini. Begitu besar penghormatan mereka merai dan menyambut tetamu. Moga Allah melimpahkan keberkatan kepada mereka dan kami semua, Amiin.

Bermusafir sebenarnya mendidik insan agar mahabbah dan berkongsi kebaikan bersama dan menyelesai masalah bersama. Senantiasa doa-mendoakan. Yang penting mengajar tawakkal kepadaNya.


Salah satu majlis yang diadakan antara kedua-dua pihak

Alhamdulillah, majlis menyambut tetamu diadakan dengan meriahnya. Ucapan aluan dari pengerusi majlis, diikuti ucapan Pengerusi IPTAF, Ust Mustaffa Kamal merangkap wakil rombongan. Majlis disempurnakan dengan munajat oleh Abuya Syeikh Abu Amran Waly. Seterusnya diakhiri dengan jamuan masakan Acheh. Lazat menyelerakan. Alhamdulillah.

Kami di sediakan dengan 3 kamar. Musafir mengajar kita betapa perlu berlumba-lumba membuat kebaikan dengan memberi khidmat kepada Guru. Ya Tuhan, ampuni kami yang dhoif ini atas segala kesalahan adab dan khidmat.

Jumaat 19 Jun

Memulakan hari baru dengan solat subuh pada 4.40am waktu Batawi. Tausiyyah dari Tokku menyentuh tentang istiqamah dalam perjuangan tauhid tasawuf. 5.45am buka kitab Hikam Tok Pulau Manis. Musafir pun Tokku ajar mesti ada pengisian ilmu, agar barokah perjalanan dan urusan.

7am sarapan telah sedia, kami menjamu selera dengan sangkaan ini sahaja. Rupa-rupanya dating pula hidangan nasi berlauk –pauk. Beginilah keadaan di Jawa. Nasi berlauk sebagai makanan / sarapan pagi adalah lumrah. Mereka bekerja berat, maka awal pagi perlu makan dengan gizi yang berat juga.

Selepas sarapan melawat persekitaran penempatan/ kejiranan melihat suasana pagi. Ramai yang sibuk bergerak menuju tempat kerja, persekitaran agak bersih walaupun padat. Longkang diurus dengan baik. Tiada bau yang kurag enak. Masjid-masjid berdekatan dan kemas buatannya. Ketemu anak-anak sekolah beruniform. Tidak kesempatan bertemu bual. Pastinya macam sekolah kerajaan sebab kecil dan bilangan murid tidak ramai.

10am mesyuarat dimulakan. Mesyuarat bertujuan membincangkan dan untuk memutuskan mengadakan himpunan Tauhid Tasawwuf secara besar-besaran diadakan. Himpunan ini adalah kali pertama. Menurut Tokku, Abuya Syeikh Abu Amran Waly berjuang berdakwah sekian lama, hingga mampu menghimpun dan menyatukan sekian ramai umat di Nusantara hingga tersebar ke Malaysia, tetapi belum ada himpunan yang besar dibuat. Atas menghargai pengorbanan ini, dicadangkan Himpunan Tauhid Tasawuf Nusantara.

Menurut Abuya, sekalian masyarakat Acheh yang ada di Jakarta datang sebagai hijrah mereka membaiki taraf hidup. Ternyata ramai mereka yang berjaya di perantauan. Menyatukan mereka dengan tauhid dan membaiki akhlak dengan tasawuf. Di harap himpunan ini akan memberi kesan memangkinkan usaha meluaskan ilmu ma’rifat golongan khawwas. Agar Islam kembali berada di kemuncak dan masyarakat terselamat dari penyakit syirik, fasik, jahil & kemunafikan.

Setelah penjelasan dan perbahasan panjang berlaku. Mesyuarat menyerahkan pada Tokku untuk merumus antara Jakarta atau Acheh. Maka dipilih oleh Tokku untuk diadakan di Acheh Darussalam. Sufi berkembang dari Acheh ke seluruh Nusantara. Mengambil keberkatan dan semangat ini, Acheh lebih sesuai untuk pertemuan pertama. Kelebihan Jakarta tidak dinafikan.


Carta organisasi Pengkajian Tauhid Tasawuf Cabang Jakarta dengan gambar Abuya Syeikh Abu Amran Waly sebagai latar utama

Penetapan tarikh dan pengisian akan dibincang selepas waktu Jumaat. Pihak wakil Acheh diberi mandat memikir dan menentukan tarikh-tarikh cadangan yang sesuai untuk dipilih.

Mesyuarat ditangguh untuk memberi laluan waktu jumaat. Kami berbincang persiapan-persiapan sebelum sambungan mesyuarat dari objektif, misi dan visi serta tentatif majlis. Selesai jumaat, jamuan tengahari yang enak disediakan. Sebagai tetamu di sini, kami tidak sempat merasai lapar, melainkan kenyang sentiasa. Maha Kaya Tuhan pengurnia rezeki kepada sekalian makhluknya.

Jam2.30pm mesyuarat disambung semula. Wakil Acheh mencadangkan beberapa tarikh yang sesuai. Akhirnya diputuskan 8 Mac 2010 bersamaan bulan Rabiul Awal 1431. Alhamdulillah, lancar mesyuarat dan selesai pada jam3.45pm untuk laluan asar. Muzakarah dengan Tokku, hati bersih membantu menghasilkan keputusan dan kerja yang barokah .

Jam4.30pm sekitar Jakarta redup petang. Kami menikmati udara petang bersama Tokku. Jalan-jalan agak jauh sikit. Ambil peluang singgah untuk beli keperluan sedikit.

Masyarakat di sini merebut segala peluang untuk meneruskan hidup. Ruang tanah yang terhad dimanfaatkan sebaiknya. Rumah kecil, tapi kebanyakannya kemas dan rapi. Gerai/kedai kecil banyak di lorong-lorong. Jalan dalam kejiranan tidak sibuk seperti jalan luar yang penuh kenderaan dan laungan hon. Bingit bagi kita orang luar. Mereka sudah biasa. Alah bisa tegal biasa.

Sekitar jam 6pm solat maghrib. Kami Jama’ Qasar.

Jam 8pm selepas isya’ majlis tausiyah. Dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh qaari yang amat gemersik suaranya. Majlis seterusnya disempurnakan oleh Tokku, Abuya, Ust Mustaffa Kamal dan Ust Dasuki. Disudahi dengan munajat oleh Tengku Muslim.

Banyak pengajaran yang dapat dikongsikan bersama. Cinta Allah, Cinta Rasul, Cinta Agama dan Ummah ini. Tauhid Tasawwuf menyatukan kita, kehalusan syariat mengindahkan lagi.

Sabtu 20 Jun

Selepas Subuh mendengar mutiara hikmah dari Tokku yang mengupas kalam Hikam syarah Tok Pulau Manis.


Toko buku Wali SOngo menyediakan pelbagai tajuk buku yang menarik dan terkini

Kira-kira jam 10 am, rombongan kami dibawa melawat Toko Buku Wali Songo di tengah-tengah bandar. Ia satu toko buku yang sangat besar dengan pelbagai tajuk. Amat mengujakan. Masing-masing membeli buku dan kitab dengan banyak sekali.

Kemudian dijamu makan tengahari di sebuah restoran di tengah kota Jakarta. Oleh kerana Pilihanraya Presiden (Pilpres) sudah hampir ketika itu, maka kedengaran juga perbincangan-perbincangan politik dari meja-meja yang berhampiran. (nota : SBY berjaya mempertahankan jawatan beliau)

Kemudian, sebahagian anggota rombongon pulang ke Sekretariat untuk berehat dan bersiap untuk program malamnya. Adapun sebahagian lagi ambil sedikit masa berjalan-jalan mencari sedikit cenderahati untuk dibawa pulang.

Malamnya berlangsung program tausiyah di Masjid Jami’ As-Syakirin, Pondok Bambu, Duren Sawit, Jakarta Timur. Tausiyah dimulai oleh Tokku yang menyentuh tentang perjuangan dan perkembangan dakwah tauhid tasawuf di Malaysia.


Sebahagian hadirin yang hadir pada majlis di Masjid As-Syakirin

Kemudian Abuya Syeikh Abu Amran Waly, memberi tausiyah seputar ilmu-ilmu tauhid tasawuf, kepentingannya, isu-isu yang disalahfahami oleh masyarakat dan lainnya.

Sesi soal jawab juga mengundang pelbagai soalan dari kalangan yang hadir. Namun, Abuya dengan tenang dan bijaksana menanggapi semua persoalan-persoalan yang dilontarkan, sesetengahnya agak panas, dengan baik dan mudah difahami pendengar. Kata seorang murid Abuya, ketinggian ilmu Abuya kadang-kadang tiada dapat dilihat pada ceramah awal, namun ia akan terserlah apabila diajukan dengan pertanyaan-pertanyaan oleh hadirin. Ketika itu nyata sekali ketinggian ilmu dan kebijaksanaan Abuya.

Selesai majlis di masjid, maka kami kembali semula ke sekretariat untuk majlis perpisahan dengan Abuya dan anggota pengkajian Tauhid Tasawuf mereka. Mendengar ucapan wakil-wakil pengkajian dan Abuya sendiri. Rombongan kami diwakili oleh ustaz Mustaffa Kamal dalam menyampaikan ucapan perpisahan. Selepas itu menikmati jamuan serta ramah mesra buat kali terakhir.


Abuya Syeikh Hj Amran Waly sedang menyampaikan tausiyah

Ahad 21 Jun 2009

Pagi esoknya, kira-kira jam 4 pagi kami berangkat ke airport Sukarno-Hatta dan berlepas pulang ke tanahair kira-kira jam 6.25 pagi.


Bergambar kenangan antara kedua-dua pihak selepas selesai majlis di Masjia As-Syakirin

Alhamdulillah, semua berjalan dengan baik. Ziarah ke Jakarta mencapai objektifnya, malah meninggalkan kesan yang mendalam pada jiwa-jiwa kami di atas kebaikan dan layanan oleh Abuya dan anak-anak buah beliau kepada rombongan. Allah jua yang dapat membalasnya.

Mudah-mudahan bertemu lagi, paling tidak pada 8 Mac 2010 di Aceh nanti! Insya Allah.

Catatan oleh :

Ustaz Norazman