Ribath Darwisyah

Pendahuluan

Islam amat memuliakan wanita. Wanita mempunyai peranan yang amat penting dalam pembangunan atau keruntuhan sesuatu tamadun. Sejarah Islam telah membuktikan betapa wanita telah berperanan dalam pelbagai bidang, malah sehingga ke medan perang, demi membangunkan agama dan tamadun manusia.

Dalam pembinaan masyarakat yang berjaya, rumahtangga merupakan tunjang-nya. Wanita yang bergelar ibu amat berperanan dalam sistem pendidikan anak-anak mereka, bahkan ibu dianggap guru yang pertama. Hadith Rasulullah SAW yang menyatakan “Syurga di bawah tapak kaki ibu” menunjukkan betapa besarnya kedudukan seorang ibu itu di sisi Islam.

Jika seorang ibu itu mempunyai keilmuan dan hubungan yang mantap dengan Allah, maka rumahnya adalah sekolah yang terbaik dalam membentuk pemikiran dan jiwa anak-anak. 

Wanita sebagai seorang isteri yang solehah pula, berperanan memberi ketenangan, pengorbanan dan kasih sayang kepada suami, yang dengannya akan membawa mereka ke pintu syurga. Sesungguhnya benarlah pepatah yang mengatakan, “tangan yang menghayun buaian boleh menggoncangkan dunia!”

Penubuhan Ribath Darwisyah (Wanita)

Ribath Darwisyah bukannya sistem pendidikan pondok atau madrasah yang menumpukan kepada pembinaan keilmuan kitab thurah semata-mata, tetapi lebih menumpukan aspek pembinaan insan yang berasaskan bidang keilmuan Ad-Din (Tauhid, Feqah dan Tasawwuf), kemantapan kefahaman Islam, pengamalan sufiah dalam membentuk kesucian jiwa dan adab serta keilmuan moden dalam menguasai pengetahuan semasa untuk kehidupan.

Matlamat

Melahirkan para pendakwah dan isteri yang solehah

Sistem pendidikan

Untuk mencapai objektif di atas, sistem pendidikan Ribath Darwisyah dibahagikan kepada tiga tahap :

1. Tahap Darwisyah : 13 -14 Tahun (Sijil Menengah)

Penumpuan dalam pembinaan diri murid untuk :

  • Menjadi hamba yang cinta pada Allah, Rasul, Sahabat, Auliya, Ulama’ dan sekelian hamba Allah
  • Bersungguh-sungguh dalam beribadah kepadaNya dalam seluruh aspek kehidupan
  • Bersungguh-sungguh menyucikan jiwanya dari sifat mazmumah
  • Memiliki adab yang mulia dan ringan melakukan khidmat.

  Untuk mencapai tahap tersebut, sistem keilmuannya dibahagi kepada dua, iaitu :

i) Kelimuan secara Kasbi : Penekanan pembelajaran kitab-kitab yang mengesahkan amalnya seperti tauhid, fekah, tasawwuf serta ilmu alat, buku-buku fikrah yang membentuk kefahaman Islam yang mantap agar mempunyai fikiran yang luas tehadap Islam.

ii) Sistem secara Kasyfi : Keilmuan yang berkaitan dengan dzauk (perasaan hati) dan syuhud (pandangan mata hati). Ia juga dipanggil Ilmu Ihsan yang disabda Nabi SAW, “Kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya (Musyahadah) atau merasai diri dalam penglihatannya (Muraqabah)”. Penekanan untuk mencapai ilmu ini ialah dengan amalan zikir sufiah, mujahadah, bersuhbah (berdamping)  dengan guru kerohanian dengan penuh taat, adab dan khidmat.

2. Tahap Mawaddah : 15-17 Tahun (Diploma)

Penumpuan kepada :

  1. Pembinaan isteri solehah, dan
  2. Pendakwah pada keluarga serta masyarakat setempat.

Setelah dilihat memiliki sifat-sifat yang baik, jiwa yang mempunyai kehalusan cinta pada Allah dan Rasul, maka murid akan dimantapkan dengan keilmuan yang lebih mendalam tentang ilmu Ad-Din (Feqah, Tauhid, Tasawwuf), mendalami fiqh perbahasan wanita, sirah Nabawiyyah, mendalami ilmu atau kitab yang perlu diajar pada masyarakat, mempelajari kefahaman dan uslub dakwah serta mempelajari buku yang berkaitan peranan wanita dalam Islam.

Pelajar juga akan didedahkan dengan pelajaran moden serta mempunyai ilmu perbandingan Tamadun Islam dan Tamadun Barat serta dilatih menguasai Bahasa Arab.

Pada tahap ini juga latihan khidmat, adab dan kemahiran dalam pengurusan rumahtangga dan adab-adab sebagai isteri solehah akan dipelajari. Matlamatnya ialah agar mereka akan beribadah dan berdakwah dalam apa bidang yang mereka terokai kepada masyarakat sama ada sebagai isteri, ibu atau dalam bidang-bidang kemahiran yang lain.  

Pihak Ribath akan mengadakan kerjasama dengan Badan-Badan NGO, pihak atau individu lain yang suasana syariahnya terpelihara untuk latihan ilmu kemahiran hidup yang berkaitan. Bidang yang dipelajari pula adalah berdasarkan minat dan bakat pelajar.

3. Tahap ‘Alimah : 18- 21 tahun (Ijazah)

Pihak Ribath juga akan membantu para pelajar yang mempunyai kemampuan dan minat untuk menyambung pelajaran kepada tahap ‘Alimah. Mereka akan dihantar ke institusi-institusi pengajian lain sama ada di dalam atau di luar negeri sehingga benar-benar menjadi ‘alimah dalam menguasai kelimuan Islam.

Penekanan keilmuan mereka adalah boleh menguasai kitab-kitab Arab dan penghafalan matan-matan yang berkaitan dengan Tauhid, Feqah, Usul Feqah, Tasawwuf, syair-syair, hafalan surah-surah Al-Quran tertentu, hadis-hadis dan lainnya.

Penutup

IPTAF amat berharap agar dengan cita-cita dan usaha yang dijalankan ini, ia akan dapat melahirkan lebih ramai para pendakwah dan isteri solehah yang berteraskan pendidikan tauhid tasawwuf dalam bersyariah. Mereka bukan hanya mampu mendidik diri, keluarga dan masyarakat kepada dakwah cinta sufiah dan pengamalan Ad-Din yang syumul (menyeluruh), dimana Feqah, Tauhid dan Tasawwuf berjalan seiringan tanpa ada satupun yang diringan-ringankan, malah mempunyai cita-cita untuk menyelamatkan wanita-wanita lain dari terus hancur dan sesat dari kehidupan yang disyariatkan oleh Allah SWT.

© Copyright 2009 IPTAF